Bn lawan PAS

>> Saturday, October 3, 2009

ORT DICKSON 3 Okt. - Barisan Nasional (BN) yang akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang pada pilihan raya kecil kawasan itu 11 Oktober ini akan dicabar oleh Pas.

Pada pertembungan dua penjuru itu, calon BN Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad akan dicabar oleh calon Pas, Zulkefly Mohamad Omar.

Sehingga tempoh penamaan calon ditutup pada pukul 10 pagi ini hanya dua calon tersebut mengemukakan pencalonan bagi bertanding merebut kerusi tersebut.

Sementara calon bebas Shahruddin gagal berbuat demikian selepas borang pencalonannya ditolak ekoran gagal mengemukakan penyokong dari kalangan pengundi berdaftar di kawasan ini.

Selepas tempoh bantahan tamat pada pukul 11 pagi, Pegawai Pengurus Pilihan Raya kecil berkenaan, Abdul Wahab Shamsuddin mengumumkan Mohd. Isa, 60, dan Zulkefly, 45, sebagai calon yang akan bertanding.

''Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menerima dua borang pencalonan iaitu dari BN dan Pas sehingga ia ditutup pada pukul 10 pagi.

''Kita juga telah menerima kedua-dua borang pencalonan tersebut dan selepas tempoh bantahan ditutup pada pukul 11 pagi ini, hanya terdapat dua bantahan yang dibuat kedua-dua parti," kata beliau di pusat penamaan calon di Dewan Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) di sini hari ini.

Kerusi DUN tersebut kosong ekoran kematian Allahyarham Azman Mohd. Nor pada 4 September lalu.

Pada Pilihan Raya Umum ke-12, Allahyarham Azman memenangi kerusi DUN itu selepas mendapat 6,430 undi mengalahkan calon Pas, Ramli Ismail dengan majoriti 2,333 undi.

Proses hari ini berjalan lancar dengan Mohd. Isa tiba pada di dewan penamaan calon dan menyerahkan borang pada pukul 9.02 pagi. Beliau dicadangkan oleh Kandiah Narayasamy, 63, dari MIC dan disokong oleh Kaw Yoh Se, 70, dari MCA.

Zulkefly pula menyerahkan borang pada pukul 9.06 pagi bersama pencadang, Sarif Kassim, 64, dan penyokong, Baharom Bujang.

Terdahulu, Mohd. Isa tiba sambil diiringi oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan; dua Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi masuk ke perkarangan dewan pada pukul 8.40 pagi.

Turut mengiringi calon BN itu ialah Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu; Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat; Presiden Gerakan, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon dan Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP), Datuk M. Keyveas.

Turut sama mengiringi Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan Ketua Pergerakan Pemuda, Khairy Jamaludin.

Zulkefly pula diiringi Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali; Pengerusi DAP negeri, Loke Siew Fook dan Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub.

Shahruddin pula yang mengisytiharkan keluar daripada PKR semalam, memasuki dewan yang sama bersendirian pada pukul 9.15 pagi.

Beliau yang ditahan polis buat seketika sebelum dibenarkan masuk, tidak lama kemudian dilihat bergegas keluar kerana gagal menyediakan penyokong dari kalangan pengundi berdaftar di Bagan Pinang.

Sehingga tempoh penamaan calon ditutup pada pukul 10 pagi, bekas ahli jawatankuasa PKR bahagian Teluk Kemang itu tidak kelihatan.

Dalam pada itu hujan lebat sebelum proses penamaan calon itu tidak menjejaskan hampir 10,000 penyokong kedua-dua parti yang bertanding untuk berarak memberi sokongan kepada calon masing-masing.

0 comments:

  © Free Blogger Templates Selamat Hari Raya Aidilfitri by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP